Tidak ada ibu bapa yang suka anak-anaknya derhaka, melawan ibu bapa,
tidak mengikut kata
Anak-anak yang baik adalah hasil didikan dari kecilnya
Oleh itu anak-anak menjadi baik bukan jadi dengan sendirinya, ia adalah hasil didikan
Sudahkah ibu bapa pandai mendidiknya?
Murid-murid taat dengan guru, hormat kepadanya tentulah menjadi guru-guru gembira
Sudah tentulah guru-guru rasa berjaya, terhibur dengan murid-muridnya
Murid-murid taat sudah tentulah melalui pelajaran dan didikan guru-gurunya
Guru yang baik, berakhlak mulia, berwibawa sudah tentulah menjadi ikutan
murid-muridnya
Ibarat kuih, ia terbentuk mengikut acuannya
Bagaimana acuan, begitulah bentuk kuihnya
Apakah di waktu ini guru-guru berakhlak mulia mengikut kehendak Tuhannya?
Sudahkah guru-guru itu berwibawa kerana taqwanya?
Murid-murid menjadi malu dengan guru-gurunya dan hormat kepadanya
kerana tawadhuknya?
Ini saya tidak boleh menjawabnya!
Guru-gurulah yang boleh menjawabnya
Kalau saya yang menjawab ditakuti disalahertikannya pula
Guru-guru tentulah boleh membaca siapa dirinya, berakhlak muliakah atau sebaliknya?
Sikap guru-guru yang ada sekarang baik atau buruk,
tentulah hasil sistem pendidikan yang ada
Guru-guru sekarang pula tentulah menyambung sistem itu untuk murid-muridnya pula
Kalau berlaku sesuatu kepada sikap murid-muridnya baik atau buruk
tentulah menggambarkan guru dan sistem pendidikannya
Para pemimpin juga sudah tentulah suka rakyatnya taat setia,
menghormati pemimpin-pemimpinnya
Taat di hadapannya, patuh di belakangnya
Angguk di hadapannya tidak mengata di belakangnya
Rakyat taat, patuh dan setia ada hubungan dengan wibawa pemimpinnya
Kalau pemimpin baik, berakhlak mulia, ada wibawa, adil pula,
pengasih dengan rakyatnya takkan rakyatnya hendak mengata
Pemimpin yang baik tentulah rakyatnya suka, bahkan mati-mati
mempertahankan pemimpinnya
Jika rakyat tidak taat dan setia janganlah mudah hendak marah-marah
dan mengugut-ugut sahaja
Suluh diri dahulu, betulkan sikap kita
Nanti rakyat mudah taat setia, cinta pemimpinnya dan menghormati mereka
9.7.2004 – 2


